AYAT pertama dalam surah al-Humazah berbunyi “Celaka untuk setiap pengumpat, penista’” yang menunjukkan bahawa soal mengumpat tidak boleh dipandang remeh kerana ia berdosa. Mengumpat secara ringkas bermakna bercakap tentang orang lain tetapi apa yang diperkatakan itu lebih kepada keburukan dengan tujuan menjatuhkan maruah atau air muka seseorang. Jika ini yang dibenarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam setiap kempen yang dijalankan oleh parti itu, ini bermakna Pas sudah ketandusan idea untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang tinggal tidak berapa hari lagi. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan arahan bahawa beliau tidak membenarkan calon-calon yang bertanding atas tiket parti Pas menyerang peribadi lawan ketika berkempen. Bagaimanapun, apabila serangan tersebut terus berlaku dalam kempen-kempen politik, beliau mengatakan pula bahawa adalah susah untuk membendung tabiat buruk yang sudah menjadi ‘kebiasaan’ sesetengah penceramah daripada calon partinya ketika berkempen. Kenyataan terbaru Presiden Pas memperlihatkan kepada kita bahawa parti tersebut tidak mengendahkan arahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mahu kempen mempunyai serangan peribadi, caci-mencaci dan sebagainya ke atas calon parti lawan. Inilah ‘fatwa’ terbaru Pas dan kita tidak tahu berapa lagi ‘fatwa’ akan dikeluarkan oleh parti tersebut sebelum sampainya tarikh 8 Mac nanti. Kita tidak nafikan akan ada lagi ‘fatwa’ terbaru daripada parti tersebut sedikit masa lagi. Ini kerana Pas kini sudah mula goyah dalam pendirian mereka untuk memperkuat jentera bagi menghadapi PRU Ke-12. Tinggal tidak berapa hari lagi rakyat Malaysia yang layak akan membuang undi. Senario yang dapat dilihat sekarang sangat jauh bezanya dengan suasana pilihan raya tahun 1999. Setiap ceramah parti pembangkang pada tahun 1999 dihadiri oleh ribuan penonton, tetapi kini tidak seramai mana. Yang meramaikan ialah petugas parti yang berjalan ke hulu ke hilir. Nampak jelas bahawa parti pembangkang sudah ketandusan idea untuk mengumpul khalayak mahupun penonton atau pendengar ceramah-ceramah mereka. Tidak ada isu yang mampu diketengahkan untuk memancing atau mengaburi mata rakyat. Tidak ada gelak tawa dalam ceramah-ceramah mereka kerana apa yang disajikan itu basi dan sebenarnya sudah dilaksanakan oleh parti pemerintah. Parti pembangkang mahu mencari kelemahan calon parti lawan mereka setelah apa yang mampu mereka berikan untuk rakyat dilihat sebagai tidak rasional oleh banyak pihak. Manifesto parti pembangkang dikritik dan ditegur dari segenap penjuru. Dalam soal ini, sebenarnya parti Pas mestilah mempunyai pendirian yang kukuh dalam menjalankan kempen mereka. Serangan ke atas peribadi calon terutamanya mengumpat dan mencaci bukanlah petunjuk bahawa golongan yang boleh mengumpat dan mencaci itu akan dianggap sebagai jaguh dan dapat memenangi hati rakyat. Rakyat yang semakin matang dalam menentukan hala tuju negara akan dapat berfikir dengan sendiri. Rakyat boleh menilai apa yang telah dilakukan oleh parti pemerintah, apa yang dijanjikan oleh parti pembangkang dan bagaimana masa depan kita jika negara jatuh ke tangan pembangkang. Petikan daripada sebuah gurindam ada menyebut ‘mengumpat dan mengkeji hendaklah fikir, di situlah banyak orang tergelincir’. Tentu ramai berharap Presiden Pas dapat menarik balik kenyataan beliau. Ataupun, apa yang pentingnya, kita tentunya mahu melihat setiap ceramah parti pembangkang lebih menekankan manifesto mereka dan bukannya menghentam manifesto orang, dan yang lebih teruknya ialah menghentam peribadi orang.
– M. JASNI MAJED,
Bukit Kapar, Selangor.
Bukit Kapar, Selangor.
sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment